Sunday, 11 May 2014

Bingkisan untuk anakanda...

Dulu, masa anak-anak masih kecil, hadiah hari ibu hanyalah kertas ucapan daripada anakanda. Itu pun dah cukup menjadikan saya seronok tak terkata. Sekarang, anak-anak dah besar, dah pandai buat kejutan untuk meraikan hari ibu, walaupun menggunakan duit poket sendiri.

Jujurnya, hati si ibu manalah yang tak gembira menerima jambangan bunga, terharu dan rasa sangat dihargai.

Tapi, jauh di sudut hati, saya tetap rasa gusar. Umur yang semakin bertambah, menandakan semakin dekat dengan akhir hidup, bimbang tanggungjawab keibubapaan tak terlaksana sepenuhnya. Di dunia kita dihadiahkan bunga, di alam barzakh nanti, harap anak-anak menghantar jambangan kebaikan amal kepada kita...itulah saat kegembiraan yang sebenar.

Duhai anak-anak mama, semoga Allah memelihara kalian, membesar dengan iman dan amal, mencintai amar makruf dan nahi mungkar, menyambung tugas dakwah yang abah dan mama tekuni, serta menjadi nafas kepada umat ini!

Ya Allah, jadikanlah hidup anak-anak kami, Naielah, Nu'man dan Naiem , penuh kemuliaan dunia dan akhirat, jadikan jiwa mereka teguh dan thabat di dalam iman dan amal, membenci segala jenis maksiat dan tamak kepada kehidupan akhirat..Mama sangat menyayangi kalian!

Saturday, 5 October 2013

Luahan Hati Anak..

Ini antara kad hari jadi ditulis oleh anak bongsu kami, istimewa kepada ayahanda tercinta


Setiap anak mempunyai personaliti berbeza. Ada yang pandai sungguh mengambil hati ibu bapa, ada yang "sardin" sahaja walaupun membuat salah! Apa pun dan macam mana pun tingkah anak, mereka tetap anak yang perlu diterima seadanya! Kadang-kadang anak ingin memberitahu kita sesuatu, tetapi kerana ibu ayahnya sibuk sentiasa, cerita itu jadi terpendam. Sangat penting kepada setiap ibubapa untuk mendengar luahan hati si anak, walaupun pada kita cerita mereka "seperti tidak penting" sangat pun. Kita sebagai ibubapa perlu sedar bahawa kita mendidik mereka di zaman serba "pintar"..informasi menerjah masuk ke minda mereka tidak kira sama ada mereka berada seorang diri, bersama teman, hatta ketika mereka berada di depan mata kita! Semuanya kerana wujudnya telefon pintar, wayar jalur lebar, skrin televisyen, skrin komputer dan lain-lain mekanismenya..Kita tidak mampu sepenuhnya untuk mengawasi apa yang mereka tengok, apa yang mereka fikir, apa yang mereka pegang, apa yang mereka dengar ... jadi, bila kita sentiasa membuka ruang dan peluang untuk bercerita dan bertanya, dapatlah kita mengagak apakah episod pening yang mereka sedang hadapi.

Saya suka menerima kad atau surat dari anakanda-anakanda, sangat istimewa..Mereka suka memberitahu perasaan dan meminta sesuatu dengan menggunakan urusan surat menyurat dengan posmennya adalah sesama mereka..Kalau surat mereka dibalas, nampak sangat mereka gembira, macam menerima surat cinta, ulang kali mereka membacanya! Dan saya menjadikan surat mereka koleksi peribadi yang saya baca bila mood sedang "panas".. comel je ayat anak-anak tulis, luhur dari hati mereka, dan kadangkala menjadikan saya menangis teresak-esak kerana sebahagian ayat yang mereka tulis menyentuh naluri ibu..dan ajaib, lepas ulang baca, mood yang "panas" menjadi sedingin salju huhuuu...

Jadi, galakkan anak menulis sesuatu dalam bentuknya yang tradisional, guna pen dan kertas, guna cebisan kad tampal di peti sejuk, menulis mesej di white board,dan seumpamanya. Secara peribadi, saya tidak suka anak-anak meluah dalam sms, sebab sms ini tabiatnya berbeza. Sms kadang-kadang membawa mood berbeza daripada orang yang menghantar dan orang yang menerima. Kecenderungan penggunaan perkataan pendek-pendek untuk hubungan dua generasi, rasanya seperti menghakis nilai tradisi. Mungkin ini agak tipikal, tapi saya dapati sebahagian nilai tradisi tidak boleh diketepikan. Fikirkan!

Tuesday, 1 October 2013

Anak Soleh Anak Cemerlang

Assalamualaikum;

Saya meminati topik berkaitan pendidikan anak-anak. Saya kongsikan antara penulisan yang saya hasilkan dalam ceramah yang saya kendalikan: Selamat membaca!


1.   PENDAHULUAN

Semua ibubapa menginginkan yang terbaik dapat diberikan kepada setiap anak-anak mereka. Jika boleh, segala-galanya ingin diberikan kepada anak-anak yang amat dikasihi. Bukanlah menjadi keganjilan melihat ibubapa rela mengorbankan apa sahaja, mengumpulkan segenap kemampuan dan sanggup mengenepikan keselesaan diri sendiri demi memastikan anak-anak boleh menjadi manusia yang sebenar. Ada harapan-harapan tertentu yang ingin dicapai oleh setiap ibubapa. Mereka ingin anak-anak berkembang menurut kemahuan mereka sebagai ibubapa.
Secara umumnya, keinginan ibubapa dipengaruhi oleh banyak faktor. Kesedaran diri yang terhasil dari proses pendidikan yang dilalui adalah faktor utama yang membentuk keinginan tersebut. Namun, seringkali juga harapan dan keinginan ibubapa dibayangi oleh kejayaan ahli keluarga orang lain. Semangat untuk melihat anak berjaya timbul setelah ibubapa membandingkan pencapaian anak mereka dengan pencapaian anak orang lain. Hasilnya, ibubapa memaksa keinginan dan harapan mereka ke atas diri anak-anak. Obsesi kepada kejayaan begini kadangkala sehingga menjadikan ibubapa meminggirkan faktor-faktor lain yang memberi kesan besar ke atas perkembangan diri anak-anak. Akibatnya, kedua-dua pihak iaitu ibubapa dan juga anak seringkali merasa tertekan kerana gagal mencapai apa yang diinginkan.

2.  FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN ANAK

Perkembangan manusia adalah kompleks. Faktor yang mempengaruhi perkembangan tidak dapat dipastikan secara tepat. Para ahli sains tidak dapat menjawab secara tepat apakah faktor yang menjadikan seseorang itu berbeza antara satu sama lain walaupun mereka berasal dari ibubapa yang sama. Walau bagaimanapun, beberapa perkara didapati menjadi asas dan keperluan untuk perkembangan diri manusia secara normal.

2.1       Baka dan persekitaran

Setiap bayi yang dilahirkan membawa bersama-samanya kod-kod genetik yang akan menentukan ciri-ciri fizikalnya. Tret fizikal seperti warna kulit, rambut, mata, saiz badan dan seumpamanya ditentukan oleh faktor baka yang akan diperturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Tret fizikal ini diwarisi daripada ibubapa biologinya dan ianya bersifat unik. Sifat tabie dan personaliti anak-anak pula adalah terhasil dari interaksi serta rangsangan yang diterima dari persekitarannya. Di antaranya ialah bimbingan, pendedahan berterusan, asuhan dan pemodelan dari individu signifikan di dalam kehidupan awal kanak-kanak. Keadaan masyarakat, budaya dan proses sosialisasi juga turut menentukan watak kanak-kanak menjelang usia dewasanya kelak.
Faktor baka dan persekitaran tidak bertindak mempengaruhi perkembangan manusia secara bersendirian. Sebaliknya ia saling memberi kesan antara satu sama lain. Contohnya, kecerdikan walaupun dikatakan banyak ditentukan oleh komponen baka, namun rangsangan yang diterima dari ibubapa, pendidikan, pengaruh rakan sebaya dan seumpamanya turut mengesani tahap kecerdikan seseorang.
Interaksi antara faktor baka dan persekitaran adalah sangat berkait rapat. Sukar menentukan mana satu yang paling mempengaruhi perkembangan manusia. William Greenough, seorang ahli psikologi perkembangan kontemporari di Universiti of Illinois menyatakan : “ the interaction of heredity and environment is so extensive that to ask which is more important, nature or nurture, is like asking which is more important to a rectangle; height or width!

2.2           Kematangan
Perubahan fizikal dan pola tingkahlaku turut berkait rapat dengan faktor kematangan tubuh badan dan juga otak manusia. Semakin kanak-kanak membesar, mereka akan melalui pelbagai pengalaman yang membentuk kematangan. Bahkan kematangan juga didapati mempengaruhi sesetengah proses biologi. Di dalam mengukur perkembangan manusia, kadar dan tempoh perkembangan didapati berbeza walaupun ia dilalui oleh semua individu. Ahli psikologi perkembangan sememangnya meletakkan tahap umur tertentu bagi menjadi asas pengukuran sama ada perkembangan berlaku terlalu awal atau terlalu lewat. Contohnya, ketika bayi berumur satu setengah tahun, mereka biasanya sudah boleh menggunakan sekurang-kurangnya kombinasi dua perkataan yang diistilahkan sebagai ayat telegrafik kerana perkataan yang dikeluarkan menyerupai ayat digunakan di dalam penghantaran telegram. Namun, ada kanak-kanak yang mampu menguasai kemahiran ini pada tahap umur lebih awal. Jika ini berlaku, perkembangan kanak-kanak tersebut mendahului umur purata pencapaian tersebut. Sekiranya menjelang umur 4 tahun, kanak-kanak tidak mencapai kemahiran ini, perkembangan dikatakan telah terganggu atau terlewat. Ibubapa perlu meneliti dan mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi kelewatan perkembangan diri anak tersebut.

2.3       Konteks perkembangan

Manusia adalah makhluk sosial. Konteks sosial dan kesan sejarah turut membentuk perkembangan diri kanak-kanak. Di antara konteks yang mempengaruhi perkembangan ialah :

  1. Keluarga
Bagi seorang bayi, konteks perkembangannya berlaku secara langsung di dalam keluarganya. Keluarga pada zaman dahulu berbeza dari keluarga dari zaman pasca moden. Pada zaman ini, keluarga tidak lagi bersifat tradisional, multi-generasi dan mempunyai rangkaian keluarga yang luas bermula dari datuk, nenek, bapa dan ibu saudara, sepupu dan seumpamanya. Konsep keluarga meluas (extended family) adalah bentuk keluarga tradisional yang memberi kesan tertentu kepada perkembangan kanak-kanak. Ketika mana ibubapa tiada di rumah, ahli keluarga yang lain akan mengambil peranan dalam penjagaan anak. Beban di dalam keluarga turut dikongsi oleh ahli keluarga yang lain. Di dalam seerah nabawi, perkara ini berlaku secara jelas. Rasulullah walaupun kehilangan ayah dan ibu pada usia yang masih kecil, namun Baginda tidak pernah melalui kehidupan terbiar. Bapa saudara, datuk adalah antara penyambung kehidupan berkeluarga untuk Baginda.
Berlainan dengan konsep keluarga meluas, keluarga nuklear ( nuclear family ) mempunyai hubungan kekeluargaan terbatas kepada dua generasi iaitu ibu bapa dan anak-anaknya. Di negara Barat, keluarga nuklear adalah dominan di dalam masyarakat mereka. Proses urbanisasi menjadikan saiz keluarga semakin mengecil dan kedua-dua ibubapa menghabiskan banyak masa di luar untuk mencari rezeki. Keadaan yang sama menular ke dalam masyarakat di negara membangun seperti Malaysia.

  1. Status sosioekonomi dan kejiranan
Status sosioekonomi meliputi tahap pendapatan, pendidikan dan pekerjaan. Banyak kajian membuktikan status sosioekonomi mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan proses perkembangan dan juga hasil perkembangan kanak-kanak. Status sosioekonomi cenderung mempengaruhi pemilihan kejiranan di mana mereka yang berpendapatan tinggi lebih berpeluang memilih kediaman di kejiranan yang sihat. Ia juga memberi kesan ke atas kualiti nutrisi, penjagaan kesihatan dan juga persekolahan. Walau bagaimanapun, status sosioekonomi semata-mata tidak memberi apa-apa makna kehidupan sekiranya faktor lain diabaikan. Banyak kisah kejayaan dilakarkan oleh mereka yang berada dalam keluarga berpendapatan rendah. Oprah Winfrey contohnya, berasal dari keluarga miskin tetapi berjaya membuktikan kemiskinan tidak menggagalkan perkembangan diri secara positif. 

  1. Budaya
Budaya merujuk kepada cara hidup sesuatu masyarakat meliputi adat resam, tradisi, undang-undang, ilmu, kepercayaan diri, nilai yang dijunjung dan juga bahasa yang digunakan. Budaya sesuatu masyarakat cenderung menerima perubahan. Kewujudan teknologi komunikasi menjadikan pemindahan dan pertukaran budaya berlaku pantas. Budaya barat menerjah ke setiap pintu rumah dan menawarkan kehidupan seperti yang diingini oleh pemilik nafsu yang liar. Ia adalah fenomena masyarakat yang tidak mampu diubah oleh mana-mana individu secara bersendirian. Ia memerlukan daya juang dan kecintaan kepada amar makruf dan nahi mungkar bagi membolehkan fenomena ini dibenteras ke akar umbinya.

3.   PENDIRIAN ISLAM vs BARAT DALAM PERKEMBANGAN DIRI KANAK-   KANAK

Suatu perkara yang menarik untuk diperhatikan ialah tidak kira di barat mahupun timur, semuanya menginginkan setiap anak-anak yang dilahirkan mendapat penjagaan yang sempurna. Seperti mana nilai Islam, Barat juga meyakini bahawa setiap diri anak dilahirkan dengan fitrah yang murni. Mereka percaya bahawa faktor-faktor yang dinyatakan sebelum ini adalah penentu kepada kemenjadian seorang anak. Islam juga tidak menafikan sumbangan kesemua faktor tersebut di dalam proses pentarbiyahan manusia.

Namun, bezanya Barat berbanding pendirian Islam ialah paksi dan arah mana kehidupan manusia itu dibentuk. Islam menegaskan bahawa kehidupan manusia berpaksikan ketauhidan kepada Allah. Walaupun manusia diciptakan bebas, dibekalkan dengan pelbagai kelebihan, tetapi tidak bermakna mereka boleh membelakangi misi kehidupan yang sebenar. Contohnya, dorongan biologi yang wujud secara fitrah di dalam diri setiap manusia mempunyai peranan tertentu untuk menyampaikan manusia kepada Penciptanya. Barat melihat dorongan biologi ini sebagai hak milik individu, dan mereka enggan membatasinya dan menyatakan bahawa ia merupakan hak-hak asasi sebagai manusia. Sebaliknya, di dalam Islam, adakalanya keperluan biologi ini boleh diketepikan untuk sementara. Sebagai contoh, makan minum adalah keperluan biologi. Setiap anak berhak mendapat makan minum secukupnya. Tetapi, apabila si anak mencapai umur layak untuk didisiplinkan, mereka akan dilatih berpuasa; menahan keperluan biologi mereka! Islam melihat sekatan kepada dorongan biologi pada masa-masa tertentu sebagai satu mekanisme pendidikan yang mencakupi aspek fizikal, mental , emosi dan spiritual. Di dalam Islam, pada sesetengah keadaan, membatasi keperluan biologi ini adalah yang terbaik untuk anak-anak demi survival kehidupan di dunia dan juga akhirat. Mekanisme pendidikan sebegini dipandang tidak wajar menurut pandangan Barat.

Perkembangan kanak-kanak juga diukur menerusi pendidikan yang diterima sepanjang tumbesarannya. Jika dilihat dari aspek pendidikan, Barat mengenengahkan teori pendidikan dengan memberi penekanan bahawa kanak-kanak belajar melalui pemerhatian. Mereka mudah meniru apa saja perlakuan yang didedahkan di sekitar mereka.  Untuk mengekalkan tingkahlaku baik yang ditunjukkan oleh seseorang kanak-kanak , maka mereka perlu selalu diberi pengukuhan. Teori pendidikan ini adalah selari dengan kaedah pendidikan anak menurut Islam. Bahkan kaedah pendidikan islam mendahului teori pendidikan Barat dan merentasi faktor masa dan juga geografi. Selain dari anak yang bakal dididik, pendidik ataupun ibubapa itu sendiri disyaratkan mempunyai sifat-sifat asasi untuk melayakkan mereka memikul tanggungjawab. Pepatah Arab menyatakan : “ bagaimana keadaan diri kamu, begitulah yang bakal terjadi kepada anak-anakmu !”

Islam meletakkan pelbagai mekanisme untuk memastikan keberkesanan pendidikan anak-anak. Di antaranya:

3.1 Menunjukkan role-model/ qudwah yang baik
3.2 Melazimkan dan menanam kebiasaan
3.3 Menasihat dan membimbing secara langsung
3.4 Memerhati, mengawasi dan mendampinginya
3.5 Mengenakan denda dan juga hukuman

Asas kepada mekanisme pendidikan ini ialah kasihsayang dan juga tanggungjawab dalam diri ibubapa dan juga pendidik. Melalui elemen ini, pendidikan akan memberi impak besar dan hasilnya akan kembali kepada masyarakat itu sendiri. Gabungan mekanisme pendidikan anak-anak menurut Islam menjamin keberhasilan dan kemenjadian anak-anak. Kegagalan menerapkan elemen pendidikan sepertimana digariskan oleh Islam akan menyebabkan perkembangan anak-anak menjadi tempang dan sudah pasti ia akan menjadi beban ke atas masyarakat seluruhnya.

4.  PENUTUP

Sungguhpun semua bayi yang lahir dan bernafas di muka bumi ini didatangkan dengan fitrah yang suci, namun fitrah itu berpotensi untuk menyeleweng. Fitrah suci yang dibekalkan Allah pada diri setiap bayi perlu dijaga, dirawat dan disuburkan. Usaha merawat fitrah anak yang suci ini boleh ditamsilkan seperti memelihara pokok kecil. Untuk melihat pokok itu membesar, berdahan kukuh, rimbun dengan dedaun, bunga dan buah-buahan, pekebunnya mestilah memerhati selalu apakah ada rumput-rumput liar yang menarik khasiat baja, adakah wujud anai-anai yang secara senyap merosakkan akar atau mungkinkah kita tersilap ketika memilih tanah tempat kita bertani... Ibubapa dan penjaga adalah “pekebun” yang berusaha menjadikan anak-anak menjadi taman syurga di dunia ini Wallahualam.


 * Kertas kerja peribadi telah dibentangkan dalam Seminar Anak Soleh, Anak Cemerlang  anjuran ISMA




Wednesday, 18 September 2013

Belajar dan mengajar,,

Tua dan muda sama-sama berkongsi ilmu yang baru dipelajari..

Seminar ISAC - Ibubapa Soleh, Anak Cemerlang!


Jomm!!! Sharing is caring... jemput hadir ke seminar ini ye..

Sudoku Latih Otak Berfikir



PERMAINAN Sudoku membuatkan individu berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah.


PERMAINAN minda seperti Sudoku memberi manfaat yang baik kepada fikiran sehingga boleh dijadikan sebagai satu senaman bagi menguatkan otak pemain.
Ia membantu individu berfikir secara kritis dan kreatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Pada masa yang sama, permainan Sudoku merupakan salah satu cara untuk menggalakkan perkembangan minda kanak-kanak.
Menurut Pakar Kanak-Kanak dan Remaja, Pusat Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Khaidzir Ismail, Sudoku diibaratkan sebagai makanan minda kepada kanak-kanak kerana pada tahap ini, otak mereka sedang berkembang 80 peratus untuk menjadi matang.
“Justeru, pada tahap ini, otak mereka perlu dilatih bagi menguatkan pemikiran.
“Namun, usah hanya tertumpu pada permainan Sudoku. Sewajarnya ibu bapa perlu membuka minda anak-anak dengan aktiviti sosial yang lain seperti perbualan dan pengalaman daripada persekitaran. Ini termasuklah memberi keseimbangan kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ) untuk proses tumbesaran diri kanak-kanak,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Sementara itu, Pakar Psikologi, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Dr. Syed Mohamed Shafeq Syed Mansor berkata, permainan berkaitan logik seperti Sudoku menggunakan otak kiri. Dari segi psikologi, ia dapat membantu menguatkan pemikiran seseorang.
“Namun begitu, ia tidak boleh dilakukan secara berterusan atau terlalu lama. Cukup sekadar mengisi masa lapang antara 30 minit hingga satu jam sahaja,” kata Dr. Syed Mohamed Shafeq.
Permainan minda Sudoku dicipta oleh ahli matematik, Leonhard Euler pada tahun 1783. Namun, sejak tahun 1984, Presiden Nikoli Co. Ltd., Maki Kaji telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan pembangunan dan pemasaran Sudoku melalui syarikat pengeluar teka-teki itu.
Sudoku kini dimainkan di lebih 100 buah negara seluruh dunia. Popularitinya dapat dilihat melalui penganjuran pertandingan Sudoku untuk pelbagai peringkat umur di dalam dan luar negara.
Tahun ini, Peraduan Sudoku Kosmo! Midea akan dianjurkan bermula 16 hingga 21 September 2013. Ia mendapat kerjasama pengedar rangkaian produk elektronik dan perkakasan rumah, Midea Scott & English Electronics Sdn. Bhd. (Midea), yang merupakan penaja utama peraduan tersebut.



Hakcipta terpelihara